MB Selangor diminta perjelas dakwaan salah guna wang penyelenggaraan SHAH ALAM: Badan Perhubungan UMNO Selangor semalam mendesak Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi penjelasan berhubung dakwaan penyalahgunaan wang peruntukan penyelenggaraan infrastruktur sebanyak RM315 juta yang diberi Kerajaan Pusat pada 2009. Setiausahanya, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, berkata ini kerana berdasarkan laporan diterima, sebanyak RM55 juta ‘hilang’ begitu saja kerana Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing menerima RM183 dan RM76 juta, manakala sebanyak RM900,000 bagi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Katanya, tindakan kerajaan negeri itu jelas mengkhianati kepentingan rakyat yang berhak mendapat kemudahan infrastruktur selesa. “Jika dihitung semuanya, terdapat baki RM55 juta dan saya ingin bertanya, ke mana perginya duit peruntukan diberi Kerajaan Pusat. Jika ia dimasukkan dalam tabung wang amanah negeri, sila jelaskan tujuannya,” katanya pada sidang media di Bangunan UMNO, di sini. Mohd Zin berkata, rakyat berhak tahu mengenainya kerana peruntukan itu bukan untuk disimpan atau digunakan bagi kepentingan pihak lain, sebaliknya untuk keselesaan rakyat. "Banyak lagi jalan rosak perlu diperbaiki dan diselenggara, tetapi kenapa ia tidak digunakan sepenuhnya. Jika Kerajaan Pusat tidak bagi duit, kerajaan negeri cakap macam-macam tetapi bila dapat duit, jadi macam ini pula," katanya. Sementara itu, katanya, beliau sudah mengarahkan UMNO Selangor membuat laporan polis terhadap Pakar Perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari berhubung kenyataan mempertikaikan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu pemeriksaan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Petaling Jaya, 3 Ogos lalu. Beliau berkata, tindakan memburukkan institusi raja satu hasutan amat serius dan perlu dikenakan tindakan sewajarnya oleh polis. "Ia tidak harus dipertikai kerana jelas Sultan ada kuasa dalam hal ehwal agama dan Abdul Aziz sepatutnya tahu. Selain itu, tindakan kerajaan negeri mempertikaikan prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) juga tidak wajar. "Badan pemantau yang ditubuhkan menyebabkan JAIS tidak ada kebebasan dalam membuat kerja dan jika hendak kaji semula SOP, kita boleh bentangkan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya. Papar senarai di laman web, media jayakan proses pemutihan SHAH ALAM: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melaksanakan proses pemutihan dengan mengemas kini 40,000 nama daftar pemilih yang tidak dapat dipastikan kesahihan maklumatnya termasuk kemungkinan sudah meninggal dunia. Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata senarai nama itu akan dipaparkan di laman web SPR termasuk di media dalam usaha mengemas kini dan membersihkan senarai pemilih SPR sedia ada. “Ada maklumat tidak dapat dipastikan seperti terdapat kes nama pengundi di senarai daftar pemilih dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berlainan dengan yang kita ada. “Selain itu, kita juga mahu memastikan status pengundi sama ada hidup atau tidak. Jadi, semua perkara perlu diambil kira,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Taklimat Persediaan Menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 kepada petugas pilihan raya di sini, semalam. Taklimat semalam, yang pertama seumpamanya adalah bagi Selangor sebelum diperluaskan ke negeri lain dalam masa terdekat. Abdul Aziz bagaimanapun menafikan wujud kepincangan dalam daftar pemilih dengan menegaskan jumlah berkenaan dianggap kecil dan pihaknya dalam proses memperbaikinya. SPR juga, katanya, tidak akan membuat proses persempadanan semula kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga PRU Ke-13 diadakan kerana SPR memerlukan sekurang-kurangnya dua tahun untuk berbuat demikian. “Semua negeri dilihat perlu menjalani proses itu dan secara kasarnya di negeri yang mempunyai Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai jumlah kerusi yang genap bagi mengelak kemungkinan berlaku situasi kemenangan 50-50,” katanya. Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan senario politik semasa, pihaknya menjangka suasana PRU Ke-13 lebih mencabar berbanding sebelum ini. “Mengikut ramalan kita, parti kerajaan memerintah akan berusaha sedaya upaya pertahan kuasa mereka dan parti pembangkang pula akan berusaha mengambil alih pucuk pimpinan negeri atau negara dan sebab itu kita ramalkan PRU Ke-13 nanti akan berjalan rancak dan sengit. “Taklimat hari ini (semalam) hanya untuk melatih petugas SPR untuk bersedia jika PRU Ke-13 diumumkan tetapi bukan bermakna ia terlalu hampir,” katanya.